Daftar Geran Go Digital Bersama PEDi Taman Sepakat Jaya

24 April 2022 | Aktiviti Terkini

GO DIGITAL Sarawak merupakan geran teknologi yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Tujuan geran ini diwujudkan adalah untuk memperkasakan PKS dalam mendigitalkan perniagaan mereka selain membantu memulihkan perniagaan mereka daripada pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan perniagaan mereka.

Melalui geran ini, para usahawan MSME yang terjejas akibat pandemik boleh mempercepatkan peralihan perniagaan mereka ke mod digital dengan lebih pantas dan efisien. Inisiatif ini juga selaras dengan agenda Kerajaan Sarawak untuk membina rakyat yang celik digital serta bersedia mengaplikasikan kaedah ekonomi digital dalam kehidupan seharian.

Usahawan yang ingin memohon geran ini mestilah mempunyai lesen perniagaan sah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mempunyai permit perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Usahawan MSME yang terpilih bakal menerima geran berjumlah sehingga RM10,000 bagi membeli peralatan digital seperti barangan elektronik dan perisian untuk menaiktaraf mutu perniagaan digital mereka. Usahawan yang berminat boleh mendaftar dan terus memilih seberapa banyak produk yang mereka perlukan melalui katalog yang disediakan, dengan syarat jumlah keseluruhan perkakas yang dimohon hendaklah tidak melebihi RM10,000.

Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Negeri Sarawak yang masih belum beralih kepada pendigitalan dialu-alukan memohon Go Digital Sarawak iaitu geran khas pendigitalan khusus kepada perniagaan PKS.

Inisiatif ini selari dengan tujuan utama PEDi iaitu memperkasa ekonomi digital terutamanya dalam membantu ekonomi masyarakat dan komuniti setempat.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

 

 

 

Kembali Ke Atas

kembali